Wednesday, October 16, 2013

BERFIKIR POSITIF



From Google
‘Kegagalan dapat dibahagikan kepada dua perkara, iaitu orang yang berfikir tapi tidak bertindak, dan orang yang bertindak tapi tidak berfikir’. Kata-kata ini saya petik daripada seorang tokoh iaitu W.A Nancie. Fikiran mampu mempengaruhi emosi dan fizikal seseorang, berfikir boleh mempengaruhi gaya hidup seseorang dan dengan berfikir juga ia mampu mempengaruhi hala tuju hidup seseorang.
Lalu saya memetik pula kata-kata dari seorang tokoh, beliau berkata “ilmu adalah kuasa”. Sejauh manakah ilmu mempengaruhi daya fikir seseorang. Hala tuju hidup, emosi dan fizikal dan gaya hidup bermula dari satu tindakan iaitu berfikir. Jika anda sedang berfikir tentang kejayaan pasti anda membayangi pangkat dan kedudukan, kemewahan, keseronokan, kesenangan hidup, dan sebagainya, pada ketika itu, emosi anda berada dalam keadaan yang sangat gembira, tanggapan semasa itu pastinya memikirkan hala tuju hidup untuk mencapai kejayaan, seterusnya cuba memperbaiki segala kelemahan diri untuk mencapai sasaran dan target. Sebaliknya jika fail fikiran anda memikirkan tentang kesedihan, sudah pasti diri anda mula membayangi peristiwa-peristiwa sedih yang pernah anda lalui, kekecewaan dalam perhubungan, kegagalan, kerugian dalam perniagaan, dan sebagainya. Secara automatik perasaan anda masa itu mula merasa sebak, marah, putus asa,  kecewa. Sehinggakan pola fikiran anda mula membentuk fail negatif lalu disimpan dalam akal. Menifestasinya, rasa takut mula menyelubungi perasaan, putus asa dengan kegagalan yang lalu.
“Satu yang perlu anda tahu, kekuatan fikiran adalah mampu melangkaui batas masa, jarak dan zaman”. Fikiran mampu membawa anda ke masa lalu, atau masa depan dan ia mempengaruhi emosi anda. Meskipun peristiwa terjadi pada masa lalu, fikiran mampu mengembalikannya ke masa kini, ia mampu menghidupkan kembali peristiwa itu hingga menimbulkan perasaan yang sama seperti yang dirasakan dahulu. Nah! Sekarang cuba anda bayangkan satu peristiwa lucu yang pernah anda lalui dahulu bersama rakan-rakan anda atau keluarga anda, atau anda sendirian, pasti masa ini anda sudah tersenyum atau ketawa sendirian. Peristiwa itu seperti baharu saja berlaku dan sudah pasti emosi anda berada dalam keadaan gembira.
Setiap hari dalam fikiran ada memikirkan kejayaan, kejayaan, kejayaan, lalu ia membentuk satu pola fikir yang positif serta disimpan di dalam akal membentuk fail kejayaan. Keinginan untuk mengejar kejayaan semakin membara dalam diri anda, sehinggakan terbentuknya satu tindakan fizikal iaitu manifestasi untuk mencapai kejayaan. Dengan itu, anda mula belajar bersungguh-sungguh.
Dalam al-Khawathir, Syeikh Muhammad Mutawalli asy- Sya’rawi mengatakan “Fikiran adalah alat ukur yang digunakan oleh manusia untuk memilih sesuatu yang dinilai lebih baik dan lebih menjamin masa depan diri dan keluarga”.
Segala perasaan dan tindakan yang dilakukan pasti bermula dari fikiran. Fikiran lah yang menjadi pendorong pada setiap perbuatan dan kesannya dirasai oleh fizikal. Ia juga bertindak menentukan keadaan jiwa, tubuh, keperibadian dan rasa percaya diri anda.
“jika anda ingin berjaya, pelajarilah kejayaan itu dan berfikirlah seperti orang-orang berjaya, jika anda inginkan kebahagiaan pelajarilah kebahagiaan itu, dan berfikirlah seperti orang-orang yang bahagia”.

Definisi Pola Fikir
“Pola fikir adalah sekumpulan fikiran yang terjadi berkali-kali di berbagai-bagai tempat dan waktu, serta diperkuat dengan keyakinan dan ramalan, sehinggakan ia menjadi satu kenyataan yang dapat dipastikan pada setiap waktu dan tempat yang sama”. Dr Ibrahim Elfiky, Berfikir Positif.

-tok uban-
16 Oktober 2013



No comments:

Post a Comment