Google photo |
Disediakan oleh: Tok Uban
Saidina Uthman Al-Khattab pernah berkata" didiklah anakmu sesuai dengan peredaran zamannya" ini bermaksud proses pendidikan manusia harus berlaku sesuai dengan peredaran zaman dan masa selaras dengan tuntutan Islam. Namun apa yang terjadi pada hari ini adalah sebaliknya. Akhlak remaja atau anak-anak zaman sekarang sangat membimbangkan sehingga timbulnya pelbagai gejala tidak bermoral dan salah laku. Istilah remaja bermaksud mulai dewasa, sudah akil baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin (Kamus Dewan Edisi Keempat). Remaja seringkali dikaitkan dengan sikap ingin mencuba, liar, panas baran, dan sukakan kebebasan sehingga melakukan sesuatu perkara diluar jangkaan dan batas-batas Islam. Keruntuhan akhlak remaja masa kini amat merugikan negara masa hadapan.
Pembentukan sahsiah dan penerapan nilai kerohanian dalam diri setiap remaja perlu dikembalikan semula bagi melahirkan masyarakat berjaya khususnya umat Islam. Ada pendapat menyatakan Islam harus menyesuaikan diri dengan peredaran zaman, dan apa pula berpendapat zaman harus membawa perubahan kepada Islam. Biar apa pun pandangan yang dikemukakan, masyarakat seharusnya balik kepada Islam yang sebenar. Sebagai contoh, kita dapat lihat pada abad lapan belas dan sembilan belas, kelahiran para ilmuan yang cukup terkenal dunia seperti Ibnu Sina, Ibnu Batuttah, Al-Biruni, Al-Khawarizmi dan ramai lagi. Mereka mempelopori segenap bidang, menjadi ilmuan perubatan, ilmu astronomi, sejarawan, matematik, fizik, penulis dan sebabagainya. Pembangunan modal insan yang berintegriti, berpendidikan, bermoral dan berilmu harus dikembalikan bagi menjamin ketidakpupusan pemimpin masa hadapan.
Proses sekularisasi dan leberalisasi dalam dan luar negara menjadi salah satu punca keruntuhan akhlak anak muda masa kini. Sekular bermaksud sesuatu pegangan yang bersifat duniawi dan tidak berhubung dengan ukhrawi. Manakala liberal pula memisahkan agama dari kehidupan, sama ada agama dari ilmu mahupun pemikiran. Islam merangkumi keseluruhan hidup manusia sama ada ilmu dunia atau ilmu akhirat, kedua-duanya saling berkaitan antara satu sama lain. Ia juga disebut sebagai ilmu fardu kirayah dan fardu ain. Ini bermaksud masyarakat harus mempelajari kedua-duanya. tidak akan baik seseorang insan jika meninggalkan salah satunya.Peranan sekularisasi dan liberalisasi dalam mengganggu gugat akidah masyarakat masa kini amat ketara.
Keruntuhan institusi kekeluargaan juga menjadi salah satu punca besar mengapa berlakunya keruntuhan akhlak remaja. Kejadian-kejadian seperti penceraian, pergaduhan ibu bapa, kurangnya masa bersama anak-anak, kurang perhatian daripada ibu bapa, perselisihan faham antara anak dengan ibu bapa. Punca-punca sebeginilah yang menjadi tunjang berlakunya gejala-gejala sosial, seperti merempit, melepak, dadah, pergaulan bebas dan sebagainya. Anak- anak merasakan diri mereka terabai, tidak disayangi, tidak diberi perhatian, dek kesibukkan ibu bapa mengejar materialistik. Masalah penceraian ibu bapa, perselisihan faham ibubapa, pergaduhan ibu bapa dan anak-anak, menjadikan mereka tertekan dengan pelbagai timbunan masalah. Oleh yang demikian, mereka mencari jalan keluar untuk melepaskan segala tekanan dengan melakukan perkara-perkara di luar jangkaan.
Didikan agama juga memainkan peranan yang penting dalam sesebuah organisasi keluarga atau masyarakat. Kurangnya pendedahan keagamaan kepada anak-anak dan remaja menjadikan mereka lalai dengan keunikkan dunia. Kekuatan tauhid dan kekuatan iman yang kurang menjadikan mereka mudah menerima pelbagai budaya, tatacara hidup, dan adat. Proses pemodenan dan kemajuan yang tidak seiringan dengan asas keislaman menjadikan mereka terpengaruh dengan budaya-budaya luar, khususnya dari barat. Kurangnya ilmu keagamaan, kurangnya pendedahan Islam secara lebih mendalam menjadikan remaja semakin hanyut dengan keseronokan dunia, mengabaikan tangunggjawab-tanggungjawab agama. Artis-artis, sama ada luar atau dalam negara dijadikan roll model, atau ikut-ikutan dari segi pemakaian, cara hidup, dan budaya seterusnya diambil dan dijadikan gaya hidup kepada mereka, sehinggakan mereka tidak dapat menilai baik buruk dari segi agamanya. Budaya-budaya luar juga turut menyusut masuk, diamalkan, lalu dianggap sebagai trend anak muda. Permasalahan timbul apabila sekularisasi dan liberalisasi 'diislamkan', persoalan hak juga turut diketengahkan, antaranya hak beragama dan hak kebebasan.
Dalam masa yang sama, pengaruh rakan juga menjadi punca kemerosotan akhlak generasi sekarang. Rakan-rakan boleh dianggap orang kedua paling dekat dengan diri seseorang remaja selain ibu bapa. Oleh itu, setiap tindak-tanduk, perlakuan, dan aktiviti seseorang rakan dapat mempengaruhi seseorang remaja lain. Perasaan ingin mencuba yang membuak-buak dalam diri ditambah dengan pengaruh rakan, menjadikan seseorang remaja lebih mudah untuk mencuba sesuatu. Statistik menunjukkan penglibatan remaja dalam gejala-gejala tidak sihat seperti dadah, mencuri, merempit, pergaulan bebas, pengaruh alkohol, melepak, merogol, biasanya bermula dari ajakkan seorang rakan, lalu diikuti. Pada mulanya dilakukan kerana suka-suka, akhirnya menjadi sebati dalam diri.
Peranan media juga menjadi punca banyak berlakunya gejala sosial dalam kalangan remaja. Pembikinan filem-filem yang berbentuk lucah dan gejala-gejala tidak bermoral seperti samseng, gengster, kongsi gelap, lumba haram, dadah melibatkan aksi-aksi rompakan, rogol yang tidak ditapis, bahkan diberi galakan, dan sanjungan seperti penganugerahan, trofi dan sebagainya. Lambakkan filem-filem seperti ini mendorong remaja untuk mencuba, lalu diadaptasikan dalam kehidupan sebenar. Walaupun diakhir cerita, ditunjukkan pembalasan atas perlakuan, namun ia tidak sedikit pun memberi pengajaran kepada remaja atau masyarakat. Peranan media sebagai wadah penyampaian ilmu pada abad ini amat meragukan, adakah ilmu untuk kebaikan atau sebaliknya.
Kesimpulannya, kerosakkan akhlak remaja sukar dibendung, jika masyarakat sendiri bersikap lepas tangan. Ibu bapa, rakan-rakan dan masyarakat memainkan peranan yang sangat penting, iaitu sebagai agen untuk membentuk semula peribadi remaja dan anak-anak muda. Peranan kerajaan juga amatlah ditagih, bagi mengatasi masalah ini. Walaupun pelbagai kempen dilakukan oleh pihak berwajib namun itu tidak memberikan kesan apa yang diharapkan. Fungsi remaja dalam negara amat penting, ini kerana remaja merupakan tunjang pembangunan negara pada masa depan. Oleh itu, semua pihak perlu saling bantu-membantu dan bertanggungjawab atas segala perkara yang dilakukan.
No comments:
Post a Comment