Wednesday, July 31, 2013

ESEI KESELAMATAN JALAN RAYA: KESELAMATAN JALAN RAYA TANGGUNGJAWAB BERSAMA ATAU INDIVIDU?

 Tajuk: Keselamatan Jalan Raya Tanggungjawab Bersama atau Individu?
Disediakan oleh: Tok Uban

google photo
Saban tahun, setiap kali datangnya musim perayaan, kita sering dikejutkan dengan pelbagai berita sedih khususnya kes-kes yang berkaitan dengan kemalangan jalan raya. Peningkatan kadar kematian melibatkan kecelakaan maut perlu diberi perhatian bukan sahaja dari pihak yang bertanggungjawab, malah individu sendiri.

Sewajarnya kita mengambil ikhtibar melalui kejadian-kejadian yang telah meragut banyak nyawa. Mahukah kita lihat nyawa orang tersayang melayan disebabkan sikap kita sendiri. Walaupun pelbagai kempen telah dilaksanakan oleh kerajaan, namun masih belum mampu untuk menyedarkan masyarakat berkenaan dengan keselamatan semasa berada diatas jalanraya. Antara kempen yang telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa seperti "Sayangi Nyawa Keluarga Anda, Pandu Cermat Jiwa Selamat, dan Berhati-hati Dijalanraya", Namun begitu, ia tidak memberikan hasil seperti yang diharapkan.

Sikap tidak sabar pemandu untuk sampai ke destinasi banyak mengundang malapetaka, ini kerana ia menimbulkan sikap kegopohan, tidak prihatin terhadap pemandu-pemandu lain. Perasaan tidak sabar inilah, menjadikan punca kemalangan berlaku. Pemandu saling berlumba-lumba untuk mengejar masa, sehingga tidak menghiraukan amaran atau peringatan-peringatan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa semasa berada diatas jalan raya. Antaranya jarak kenderaan semasa berada dijalan raya, had kelajuan, notis larangan memotong ketika berada dijalan berbahaya, contohnya selekoh tajam, kawasan berbukit, kawasan jalan licin dan sebagainya. Peringatan-peringatan semasa pemanduan dipandang enting oleh sebilangan kecil pemandu, lalu diambil mudah sehingga boleh mengundang risiko kepada pemandu lain.

Tahap keselamatan kenderaan juga perlu dititikberatkan juga. Segolongan pemandu tidak mementingkan sangat keadaan kenderaan yang akan digunakan semasa perjalanan. Kondisi kenderaan yang tidak stabil juga boleh menyumbang kepada punca berlakunya kemalangan jalan raya. Sebelum memulakan perjalanan, kenderaan seharusnya diservis dahulu, antara yang perlu diambil perhatian adalah sistem brek dan kondisi tayar. Dua eleman ini sangat penting bagi sesebuah kenderaan untuk memulakan perjalanan jarak jauh. Banyak kejadian kemalangan  berlaku disebabkan sistem brek tidak berfungsi, dan berkemungkinan keadaan tayar, contohnya tayar pecah semasa pemanduan dan tayar licin semasa hujan atau pada permukaan jalan. Perkara-perkara sebegini harus diberi perhatian sebelum memulakan pemanduan ke destinasi masing-masing.

Rehat yang cukup khususnya pemandu juga amatlah penting, tidur yang tidak cukup boleh menjadikan pemandu seringkali lesu dan mudah mengantuk semasa memandu. Keadaan sedemikian boleh mengundang kepada kecelakaan jalan raya. Oleh itu, sebelum memulakan perjalanan pemandu khususnya disarankan meluangkan masa rehat yang cukup, tidur yang mencukupi bagi menjamin keselamatan diri dan keluarga. Jika berasa mengantuk semasa memandu, berhentilah seketika di tempat-tempat yang disediakan pihak berkuasa seperti dikawasan rehat dan rawat, atau tempat-tempat awam yang selamat seperti dikawasan kedai dan berdekatan balai polis bagi mengelakkan perkara-perkara lain berlaku.

Elakkan daripada menggunakan telefon bimbit semasa pemanduan, ini dapat mencegah pemandu daripada hilang tumpuan semasa memandu. Ketika dalam pemanduan, tumpuan harus diberikan seratus peratus pada pemanduaan bagi mengelakkan kita lalai sewaktu memandu, jika anda menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu, otak telah melakukan dua kerja dalam satu-satu masa, menyebabkan tumpuan akan terganggu, serta hilang kosentrasi pada pemanduan. Oleh itu, elakkan diri dari melakukan sesuatu semasa memandu, jika akan panggilan berhentilah seketika bagi mengelakkan akan berada dalam keadaan cuai.

Faktor- faktor Lain Menyebabkan Berlakunya Kemalangan

Biarpun pelbagai kempen telah dilakukan, peningkatan kadar kemalangan jalan raya terus meningkat, ini menunjukkan kempen yang diwar-warkan oleh pihak berkuasa tidak memberikan impak yang besar kepada pemandu dan pengguna jalan raya. Tahap kesedaran masyarakat memainkan peranan yang besar bagi membendung masalah ini. Terdapat juga faktor lain yang menyebabkan kadar kemalangan terus meningkat, antaranya perkongsian jalan kenderaan kecil dan kenderaan besar. Seringkali kita dihebahkan dengan kemalangan-kemalangan maut membabitkan kenderaan besar bertembung dengan kenderaan kecil.Contohnya lori, bas, traler yang memuatkan muatan berlebihan berkongsi jalan dengan kenderaan-kenderaan kecil seperti kereta, motosikal serta pejalan kaki. Hal ini sebenarnya mengundang risiko tinggi berlakunya kemalangan maut.


Faktor lain juga akibat daripada keadaan jalan yang tidak stabil, berlopak dan tidak rata. Keadaan-keadaan sebegini sebenarnya penyumbang berlakunya insiden-insiden kemalangan maut. Penyelenggaraan jalan yang tidak komprihensif oleh pihak berkenaan seperti melepaskan batuk di tangga menyebabkan jalan raya tidak tahan lama. Apabila kenderaan-kenderaan berat melaluinya ia akan mula retak, pecah dan wujudnya lopak-lopak pada struktur jalan. Keadaan ini memungkinkan berlakunya kemalangan.

Keadaan cuaca juga memainkan peranan yang sangat penting dalam isu ini. Ramai masyarakat mengabaikan keadaan cuaca ketika memandu mahupun ketika memulakan perjalanan. Cuaca boleh mempengaruhi pelbagai aktiviti masyarakat. Oleh itu, pemandu disarankan berhenti ketika hujan bagi mengelakkan kabur pandangan atau berlaku pengelinciran kenderaan dari permukaan jalan. Semasa hujan juga sistem brek kurang memberikan fungsi, tayar juga berada dalam keadaan licin, jika mengamalkan pemanduan laju dan berbahaya, kemungkinan besar kemalangan boleh berlaku. Oleh yang demikian, seelok-eloknya sebelum memulakan perjalanan, tinjau dahulu perkembangan-perkembangan cuaca melalui pelbagai media, contohnya media massa dan media cetak. Selain itu juga, masyarakat boleh berhubung terus dengan bilik kawalan kaji cuaca bagi mengikuti perkembangan cuaca tempat yang akan dilalui atau dituju.


Langkah Mengatasi

Kerajaan seharusnya peka terhadap  peningkatan kadar kemalangan, serta mencari jalan penyelesaian
bagi membendung masalah ini. Tidak cukup dengan kempen dan denda sahaja, bahkan itu tidak sedikit pun mengurangkan kemalangan, malah semakin meningkat. Ini menunjukkan kempen dan denda seperti tidak releven lagi untuk digunakan. Oleh yang demikian, pihak berkuasa seharusnya duduk berbincang, mencari jalan penyelesaian, bukan saling menunding jari mencari salah orang. Antara langkah dicadangkan adalah seperti pembinaan jalan mengikut jenis kenderaan, mengawal had laju kenderaan yang dikeluarkan, dan pemantauan oleh agensi bertanggungjawab di Puspakom.

Pembinaan jalanraya mengikuti jenis kederaan amat releven digunakan masa kini bagi membendung masalah kemalangan terus bertambah. Penyediaan jalan khas mengikut jenis kenderaan  boleh mengurangkan kemalangan maut. contohnya Jalan khas untuk kenderaan-kenderaan berat seperti traler, bas dan lori-lori muatan, jalan khas untuk kenderaan-kenderaan kecil seperti kereta, dan bina satu jalan untuk motosikal. Dalam Al-Quran sendiri ada menyebut "bulan berjalan atas paksinya, matahari pula berjalan atas paksinya" persoalannya pernahkah kedua-dua ini bertembung? jawapannya, tidak pernah, kerana mereka berjalan pada jalan masing-masing, bulan yang kecil satu jalan, matahari yang besar satu jalan. Al- Quran menjawap semua persoalan berkaitan dengan kehidupan, namun kenapa kita selaku negara Islam tidak mahu mengambil inisiatif yang telah ditetapkan. Selain itu juga pembinaan jalan berkembar juga amat penting bagi mengelakkan kesesakkan lalu lintas, serta menyediakan penghadang di tengah-tengah jalan.

Pengawalan had laju kenderaan bermotor juga amat penting. Jika dilihat pada zaman sekarang, pengeluaran kenderaan semakin hari semakin meningkat, namun had laju sesebuah kenderaan masih meragukan. Mana mungkin kenderaan yang kecil mampu memecut pada kadar yang tidak munasabah. Contohnya Kelisa, Viva, Myvi, Proton Wira, Proton Putra dan sebagainya. Badan yang kecil namun menghasilkan pecutan yang laju adalah satu faktor berlakunya kemalangan maut. Apabila berlaku kemalangan, daya hentakkan yang kuat berlaku pada sesuatu yang kecil boleh menghasilkan satu kemalangan trajis. Selain itu juga, keseimbangan kenderaan semasa panduan juga tidak konsisten jika dipandu laju.

Selain itu juga, bagi mengatasi masalah kemalangan jalan raya, pihak berkenaan seharusnya membuat pemantauan di Puspakom. Agensi seperti SPRM harus memainkan peranan dalam membendung masalah rasuah dalam kalangan orang dalam dan pemilik kenderaan. Faktor-faktor sebeginilah yang menjadi punca berlakunya kemalangan. Untuk memudahkan kerja, pemilik hanya perlu membaysr sejumlah wang, untuk membolehkan kenderaan mereka lulus ketika pemeriksaan kenderaan di Puspakom. Kejadian-kejadian ini jarang berlaku pada pemilik kenderaan kecil, lebih serius kenderaan besar seperti syarikat-syarikat dan pengusaha industri. Jadi tidak hairanlah kenapa bas, traler dan lori seringkali menjadi punca kepada kemalangan.

konklusinya, tepuk dada tanya selera. Sama ada individu atau masyarakat yang harus dipersalahkan bagi membendung masalah kemalangan pada masa kini. Seharusnya semua perlu ambil ikhtibar dari kejadian-kejadian kemalangan maut yang seringkali berlaku, dan menghantui pemandu-pemandu yang lain. tingkatkanlah kesedaran dalam diri setiap individu, didiklah pemikiran yang bertamadun, seperti saranan kerajaan untuk melahirkan modal insan kelas pertama. Kedua-dua entiti ini, sama ada individu ataupun masyarakat, sama-sama memainkan peranan penting bagi mengurangkan kadar kemalangan. Untuk menjadikan negara bersih, setiap orang harus balik kerumah masing-masing, membersih kawasan rumah masing-masing, barulah negara sentiasa bersih, begitu juga dengan isu ini, setiap orang sentiasa prihatin diatas jalan raya, barulah tidak berlaku kemalangan.

sekian,
tokuban
31 Julai 2013



No comments:

Post a Comment