Saturday, July 27, 2013

MUNGKIN INI RAMADHAN TERAKHIR UNTUK AKU

Assalamualaikum kepada semua pembaca dan blogger, semoga semuanya berada dalam lindungan Allah s.w.t hendaknya. Dalam keadaan kita sedar atau tidak Ramadhan kini mula memasuki fasa pertengahan, dan menuju ke pengakhiran bulan. Kalau dalam sesebuah cerita atau tulisan, tahap ini boleh dikatakan sudah memasuki fasa klimaks, dimana kemuncak cerita. begitu juga dengan bulan Ramadhan, ianya sudah memasuki kemuncak perjalanan seorang hamba mencari redha Allah s.w.t. Pada bulan ramadhan semua umat Islam berpusu-pusu cuba merebut dan mengaut pahala sebanyak mungkin untuk memiliki Jannah Allah s.w.t yang kekal abadi. Dalam menyusuri malam-malam terakhir bulan ramadhan juga, tersembuyinya satu malam yang disebut Malam Lailatulqadar. bila? dimana? hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Sesungguhnya DIA lah yang Maha Agung mentadbir dan memiliki kerajaan langit dan bumi.

Bila Ramadhan baru bermula dan akan berakhir, hati sering tertanya-tanya mungkin inikah ramadhan yang terakhir untuk aku?, tahun yang akan datang sempatkah aku merasainya seperti tahun ini?. Persoalan-persoalan sebegini sering berlegar dalam kotak fikiran admin. Terlintas sahaja tentang akan datangnya kematian suatu masa nanti, kelopak mata seakan berkaca, tidak dapat menahan juraian air mata, mengenangkan dosa-dosa yang pernah aku lakukan, terkenang akan wajah bonda yang sering mengukir senyuman, kakak-kakak, adik-adik yang menghiburkan. Kalau ini adalah ramadhan terakhir untuk aku, bermakna aku akan tinggalkan dunia ini, aku akan tinggalkan benda-benda dunia, aku akan tinggalkan seorang insan yang bergelar ibu, aku akan tinggalkan kakak dan adik-adik. teringat kata-kata yang terlontar dari mulut seorang ibu tua "ma tak sanggup nak lihat anak-anak ma pergi dulu sebelum ma". lalu hati kecil ini menangis tanpa kesan air mata, betapa sayangnya ma terhadap kami. Masa itu mulut seolah-olah malu nak berkata-kata, sedangkan kami juga tidak sanggup dan tidak mampu untuk melihat ma pergi dulu. Aku percayakan Qada dan Qadar Tuhan, ajal maut, jodoh pertemuan telah ditetapkan. Siapa saja antara kita akan pergi dulu, malah tidak akan berlaku kematian lewat sesaat, atau awal seminit. Hati juga tertanya-tanya apakah ini ramadhan terakhir untuk aku bersama insan yang bergelar ibu? sama ada aku atau dia, aku simpan saja tanda tanya itu biar membeku.

Jurai-jurai air mata membelah pipi yang masih memerlukan kucupan dari seorang ibu, bahagianya hidup bila mendapat ciuman dan kucupan dari seorang yang pernah melahir, menjaga, menyusu, membelai, apatah lagi dapat merasai pelukan dari seorang ibu. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim!!. Tipu kalau aku kata aku tidak merasai apa-apa sewaktu menitipkan tulisan entry ini, sedangkan ia berlinangan tanpa sedar. Masih sempatkah aku untuk membalas segala penat lelah ibu untuk aku, punyai masa lagikah aku, untuk jadikan ibuku tetamu Allah s.w.t? Ya Rahman, Ya Rahim, berikanlah aku kesempatan untuk melepaskan hajat yang terjerat dihati ini. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani. . Berikanlah aku kesempatan dan ruang untuk merasai lagi nikmat kasih sayang dari seorang ibu. Aku tidak mahukan kekayaan, aku tak perlukan pangkat tinggi menggunung ganang, aku tak perlukan kemewahan, yang yang mahupun berilah masa dan kesempatan untuk aku balas segala kesusahan sewaktu ibu membesarkan anak-anaknya, walaupun aku tahu pengorbanan seorang ibu tak mampu untuk aku balas, sekurang-kurangnya bila besar aku mampu membelanya..

Kalau ditakdirkan tuhan saya yang pergi dulu, saya harap kakak dan adik-adik saya akan baca tulisan saya ini untuk teruskan impian saya. Dalam hidup saya tidak pernah ada cita-cita, tapi saya ada satu impian, dan impiannya jadi yang terbaik untuk mak saya.

*semoga ma akan terus sihat, semakin bertambah iman dan ketakwaan, dan semoga aku dapat capai cita-cita aku untukmu ibu.
*kawan budiman doakan semoga pembedahan mak saya akan berjalan lancar, dan juga doakan dia untuk saya.

wasalam
tokuban
27 julai 2013

No comments:

Post a Comment