Kata ayah
Kata ayah
Selangkah aku maju ke hadapan
Seribu cabaran mendatang
Hanya dengan kesabaran
dapat mengharungi segala kesukaran
pahit di hadapan sebenarnya manis kemudian
lumrah kehidupan seorang insan
kata ayah
selangkah aku undur kebelakang
sejuta kerugian
kerana aku lari daripada cabaran
takut mengharungi kesukaran
yang sebenarnya pengalaman
untuk hari-hari depan
Pintu
Pintu itu
Pintu rumah itu
Memang Terkunci
Atau sengaja dikunci
Kalau tidak pun
Buat-buat terkunci
Mendiamkan diri
Dalam rumah tertutup sepi
Kosong macam tiada penghuni.
Pintu
Pintu itu
Pintu rumah itu
Tertutup rapat
Tiada usaha membukanya
membiarkan sebegitu sahaja
Dia redha pintu tertutup rapat, serapat-rapatnya
Membiarkan diri hidup dalam gelap tanpa cahaya.
Kalaupun
Pintu itu
Pintu rumah itu
Terbuka luas
Cahaya terang di hadapan
Dia tidak berusaha
Melangkah ke sana
Dia membiarkan pintu itu
Cahaya itu
Tertutup dan hilang semula
Dia hanya memeluk diri dalam gelap gelita
Mawar Yang Hilang
Siapakah
memetik mawar
kuntuman bunga,
tiada ia di taman
sekian lama ku tanam
sekian lama ku siram
penuh harapan ku simpan
penuh kasih ku genggam
ia pada taman larangan.
Siapakah,
yang memetik mawar
secara haram
tanpa ikatan perjanjian.
Siapakah gerangan?
mencuri mawar
ku sayang,
sekian lama ku tanam
mekar di halaman
kembang kelopaknya
wangi harumnya
merah warnanya
ku simpan ia di taman
lalu di curi orang.
Siapakah gerangan jantan?
Lalang
Lalang
Hidup
sendirian
Di
tepi-tepi jalan, di pinggir-pinggir hutan
Tumbuh
berkeliaran
Ditiup
angin kiri ke kanan
Hidup
tiada arah haluan
Meniti
hari-hari kesengsaraan
Lalang
Hidup
bergelangdangan
Tanpa
kasih dan sayang
Tiada
belas kasihan
Walhal
lalang juga ciptaan TUHAN
Alahai
Kasihannya
si lalang
Sudahlah
hidup di kaki-kaki jalan
Tiada
siapapun yang sudi pandang
Berkeliaran
menunggu nyawa tercabut dari badan
Maka
berakhirlah hidup si lalang
Dimana
silapnya lalang
Hinggakan
terabai sedemikian
Hidup
penuh penderitaan
Penyiksaan
Mungkinkah
mereka menunggu
Pabila
lalang hilang
Barulah
mula mencelik mata
Lalang
sebenarnya berguna
walaupun
bergelandangan.
18/09/2011
10:00 am
LANGIT PETANG
Aku dongak ke atas,
Melihat langit luas terbentang,
Menjadi payung alam,
Tiada kaki ia berdiri,
Tiada hujung jika dicari,
Tiada tangga untuk digapai,
Tiada tiang yang menunjangi.
Langit petang,
Senja memanggilnya pulang,
Penuh kesucian,
Petang yang damai,
Penuh kenikmatan,
Angin berjalan penuh sopan,
Lembut nya ia merempuh tubuhku,
Seperti menghormati tetamu yang datang.
Burung berterbangan,
Berkicauan,
Terbang tinggi ke awan,
Saling berkejaran,
Seperti anak-anak berlari riang.
Seketika,
Awan hitam berarakan
Cahaya terang jadi suram
Dikelilingi awan kejahatan
Guruh berdentuman
Kilat berpancaran
Seakan memberi amaran
Dia menguasai alam
Angin penuh kerakusan
Merempuh segala halangan
Tanpa belas kasihan.
Lalang tiada teguh berdiri
Dipukul angin kiri ke kanan
Akhirnya rebah tersungkur di kaki alam.
Dari meja penulis--->Assalamualaikum semua pengunjung dan blogger, di atas adalah antara sajak-sajak saya yang telah mengisi Majalah Tunas Cipta 2012, Alhamdulillah jika diberi kesempatan dan ruang oleh-Nya, saya akan memperkemaskan lagi hasil-hasil sajak dengan pelbagai kreativiti dan memperluaskan lagi idea-idea. Cuma untuk masa ini, saya masih belum berkesempatan untuk menulis. Banyak idea yang lahir dalam fikiran saya, cuma belum sempat untuk dicurahkan di atas kertas. Penghasilan sajak-sajak saya lebih kepada nilai kemasyarakatan, sama ada dari segi aspek kehidupan, budaya, dan seterusnya merangkumi seluruh kehidupan.Antara sebab saya memasukkan unsur-unsur kemasyarakatan dalam sajak-sajak saya adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, tentang peri pentingnya nilai kemanusiaan, pentingnya diri sendiri, keluarga, dan masyarakat. Kesedaran perlu ada dalam diri masyarakat untuk melahirkan satu modal insan yang cermelang dan berkualiti, berfikir kreatif dan kritis, berdaya saing, mempunyai jati diri, menghargai maruah diri dan keluarga. Masyarakat seharusnya lebih berfikir positif ke hadapan untuk menghadapi dunia tanpa sempatan, dapat menangkis budaya luar yang negatif. Jika kita lihat pada waktu ini, masyarakat, khususnya anak-anak muda lebih menghargai budaya luar, seterusnya meluputkan nilai-nilai dalam negara yang diamalkan oleh datuk nenek kita dahulu. Nilai-nilai budaya luar yang diserap tanpa tapisan dapat memberi kesan negatif kepada remaja-remaja pada masa kini. (budaya yang diserap mestilah disesuaikan dengan masyarakat Malaysia yang kebanyakannya masyarakat Islam). Proses liberalisasi dari barat banyak memberikan impak yang besar jika tidak disesuaikan dengan cara Islam. Kebijaksanaan pemimpin amatlah ditagih, bagi membendung masalah ini dari berlaku. Bak kata pepatah melayu 'untuk melihat negara masa hadapan, lihatlah generasi pada hari ini'. Jika generasi muda pada hari ini terpelanting ke bawah, tidak mempunyai jati diri, modal insan yang rendah, berkemungkinan besar pada masa-masa yang akan datang negara akan mengalami suatu masalah ketandusan pemimpin yang berkalibal, berkualiti, dan sebagainya. Oleh itu saya sebagai remaja ingin mengajak mereka-mereka yang bergelar remaja, jadilah seorang yang berguna kepada negara,bangsa. kalaulah ianya terlalu susah untuk dicapai, jadilah seorang yang berguna kepada ibubapa dan keluarga. Dan jika itupun suatu yang amat sukar, jadilah seorang yang berguna kepada diri sendiri. Islam tidak menghadkan dan membataskan kehidupan anda, malah anda sendiri yang membataskan diri anda terhadap Islam, diri anda sendiri yang tidak mahu mengenal Islam, seperti mana yang anda tahu Islam itu mudah jika kena dengan kaedahnya. kita sahaja yang menyusahkannya. Oleh itu tepuk dada tanya selera, manakah jalan yang kita pilih, manakah tiket yang kita tempat, sama ada ke tempat yang baik atau sebaliknya. sekian..
Tahniah. Suatu pencapaian yang baik. Teruskan menulis.
ReplyDeleteKalau boleh, dibuat pemerengganan dalam menulis entri. Mudah untuk dibaca.