Wednesday, June 20, 2012

JALAN-JALAN YANG AKU LALUI, HARI-HARI TERAKHIR SEORANG PELAJAR


Setiap bermula ada akhirnya, setiap yang hidup akan temui matinya, setiap pertemuan akan ada perpisahannya.. manusia tidak boleh tidak lari dari kenyataan, dan lumrah kehidupan. Tiga tahun menjejaki ilmu di Universiti Putra Malaysia (UPM), akhirnya kini tiba masa untuk aku tinggalkan tempat ini, tempat yang meninggalkan seribu kenangan manis dan pahit untuk aku. Banyak pengalaman dan pengajaran yang telah aku lalui selama di sini, suka duka, tangis hiba, itu adalah biasa, almaklumlah kita semua adalah manusia, kecil sahaja kita di sisi yang Maha Berkuasa.


Sempena hari bapa, aku nak ucapkan selamat hari bapa untuk ayahanda tercinta yang telah pergi buat selamanya, lantaran itu, aku hadiahkan dia, senaskhah Tesis. Kalaulah dia masih ada, semestinya dia adalah orang yang paling bangga dan gembira atas kejayaan aku ini. 


Kepada bonda tercinta, anakmu kini sudah bersedia untuk menggalas segala tanggungjawab yang telah sekian lama bonda pikul, susah senang nak besarkan enam orang anak. Dan hajat untuk ma tengok jae memegang skrol ijazah insya-Allah akan kesampaian. Persediaan untuk menjadi salah seorang daripada pekerja sudah terpaku di dalam hati. Teringat lagi masa lima tahun lepas.  ma  beria-ria suruh aku  melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam, tapi aku tak nak, aku nak kerja, nak jaga adik-adik. Tapi ma tetap nak tengok aku sambung pelajaran ke universiti. Lalu ma ucapkan “ma masih mampu untuk menyara adik-adik dan jae belajar, tapi selepas keluar daripada universiti nanti jae pula kena jaga ma” sambil melemparkan secebis senyuman pengharapan kepada aku...pada saat itu, aku bertekat nak belajar, nak memenuhi permintaan ma sebelum dia menutup mata.


Kepada kawan-kawan yang bakal bergelar sarjana kelak, aku ucapkan sekalung tahniah dan syabas atas kejayaan anda dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya. Aku tumpang gembira..jalan aku seterusnya, mencari secebis kebahagiaan untuk bonda tercinta. Insya-Allah jika ditakdirkan aku dan kamu semua, kita bakal berjumpa lagi, dan kalaulah ini pengakhirannya, simpan sahaja kenangan kita ketika bersama.









No comments:

Post a Comment