Saturday, March 15, 2014

KASIH SAYANG

Kasih dan sayang adalah salah satu kesempurnaan dalam tabiat manusia. Perasaan seperti ini membuat seseorang turut merasa sedih apabila melihat penderitaan saudaranya dan berusaha menghapuskan atau meringankannya.

jelaslah bahawa, rasa kasih sayang merupakan salah satu kesempurnaan. Tanpanya, manusia akan merosot kedudukannya setaraf dengan haiwan dan akan lenyaplah apa yang terbaik pada dirinya iaitu perasaan yang hidup dan selalu memiliki rasa kasih dan sayang. Bahkan haiwan sendiri pun mempunyai perasaan kasih sayang kepada keturunannya. Oleh kerana itu, kekejaman merupakan kemunduran dari fitrah manusia dan merosot kedudukannya ke tingkat haiwan, bahkan lebih rendah tingkatnya seperti benda yang tidak bergerak bernyawa.

kasih sayang dalam tingkatnya yang tertinggi dan keluasannya yang mutlak adalah salah satu sifat Allah s.w.t rahmat atau kasih sayang Allah s.w.t meliputi seluruh alam merata pada seluruh alam malakut. Persaudaraan, keramahan, saling kasih mengasihi ia adalah rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t yang terdapat di dalam hati manusia. orang paling lemah lembut hatinya dan paling besar rasa kasih sayangnya ialah yang paling banyak mendapat rahmat Allah s.w.t. Sedangkan orang-orang yang hatinya keras, mereka merupakan orang-orang yang congkak dan sombong, mereka itu akan di tempatkan di lapisan terbawah neraka.

Dalam Hadis Rasulullah s.a.w telah menegaskan

"Sesungguhnya manusia yang paling jauh dari Allah s.w.t ialah manusia yang berhati kejam"

(HR. At- Thabarani)

Allah s.w.t menghendaki supaya dunia ini mendaat keamanan dengan adanya seorang yang dapat menghapuskan penderitaan dan kepedihan, memperbaiki kekeliruan dan dosa kesalahannya, berusaha melalui jalan yang benar, menolong orang yang lemah dan berjuang membealnya.

Untuk itulah Allah s.w.t mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w seorang manusia yang hatinya telah diisi dengan ilmu dan ketabahan, akhlaknya diisi dengan keramahan, kelembutan,  dan kebajikan, tabiatnya diisi dengan ketulusan kasih sayang, Baginda juga seorang dermawan, kesemuanya itu membuat baginda menjadi hamba Allah s.w.t yang paling tinggi dan paling lapang dadanya.

Islam memerintahkan supaya para pemeluknya saling berkasih sayang dan perkara itu dijadikan sebagai salah satu tanda keimanan yang sempurna. Dalam bergaul dengan orang ramai, dalam hati seorang muslim mesti terdapat rasa kasih dan cinta.

Islam menekankan keharusan berkasih sayang secara umum terhadap semua makhluk. Untuk menjaga kemaslahatan umum dan ketenteraman masyarakat, agama Islam mementingkan kebajikan, pendamaian, dan kasih sayang terhadap segenap umat manusia.

Pada dunia akhir zaman ini, perasaan kasih sayang itu seolah-olah telah hilang dalam diri manusia, persoalan kemanusiaan, cinta, semakin pudar, yang tinggal hanya kerakusan, kezaliman, pengkhianatan yang berleluasa. Untuk itu, marilah kita sama-sama memupuk semangat berkasih sayang, cinta-mencintai antara satu sama lain, bagi mewujudkan satu situasi yang damai, bermuafakat, dan berkebajikan khususnya bagi umat Islam, ini kerana dalam Islam sendiri menekankan konsep kasih sayang sama ada sesama manusia, haiwan dan tumbuhan. Dan ingatlah hidup ini hanyalah pinjaman, segala yang ada di sekeliling kita adalah pinjaman, sama ada isteri, anak-anak, harta, kemewahan, pangkat dan kedudukan dan semua ini adalah ujian terhadap kita.


RUJUKAN BUKU AKHLAK SEORANG MUSLIM

Friday, March 7, 2014

HIDAYAH MILIK TUHAN

Assalamualaikum..

sekadar perkongsian untuk tatapan bersama, semoga ia menjadi barakah dan memberi keberkatan untuk semua. Pencarian Maha Agung, Maha Besar, Al-Khalid, Al-Rahman, Al-Rahim..Segala puji bagi-Mu jua, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan para sahabat, para ambia, wali-wali dan sehabat golongan syurga. Insya-ALLAH.

kepada pembaca budiman, pernahkah anda merasa kerdil ketika mengadap tuhan, ketika berada di rumah Allah swt..Subhanallah, Maha Suci Allah. Kasih yang tidak pernah putus dicurah, nikmat hidup yang berpanjangan sehingga ke saat ini.

Alhamdulillah, aku masih diberi kesempatan untuk mencari Al-Khalid, terima kasih ya tuhan!! pada ketika titis air yang membasahi anggota sekujur tubuh yang kotor, membasuh lumuran-lumuran kepekatan dosa yang pernah dilakukan, hinanya aku. Sewaktu melangkah masuh ke gerbang suci, pergi mengadap ilahi, terasa diri aku terlalu kerdil, kecil, malunya aku pergi mengadap tuhan membawa diri yang kotor, penuh noda dosa. Lalu berdirilah aku menanti azan yang akan di kumandangkan, menanti dengan penuh malu. Saat ia dilagukan, aku tunduk. Betapa dekatnya alunan itu memanggil aku, terlalu dekat, sehingga terasa dalam hati mungkin inilah bermulanya perjalanan aku. Alunan itu memanggil aku kembali pada pencipta..Allahuakhbar!!

Syukur pada-Mu Ya Rabb, bagaimana harus aku basuh kotoran-kotoran yang sekian lama membuat hati gelap? lalu jari jemari penuh sabar membilang tasbih, dengan harapan semoga aku kembali ke jalan yang benar. Demi tuhan, aku tidak sedar berderainya air mata membasahi pipi, skrip drama yang tidak diatur. Sambil mulut tidak lekang menyebut nama-Mu, bertasbih pada-Mu, bertahmid, aku melihat ke kubah, penglihatan tembuh melihat langit nan rendang, "Tuhan jika ini jalan terbaik pernah engkau berikan kepada aku, biarkanlah aku disini, janganlah Engkau kembalikan aku ke jalan yang penuh kegelapan" hati ini berkata.

Masjid ini menjadi saksi "Tuhan, jika kelapangan yang Engkau berikan selama ini adalah tipu daya dunia, biarkanlah aku terus miskin sebegini, aku percaya pada kuasa-Mu, bahkan segala Dzat-Mu, segala yang ada di langit dan di bumi adalah kerajaan Mu. Jika takdir ini, memisahkan aku dari kegelapan, teruskanlah ujian ini, semoga aku menjadi hamba yang selalu sabar dan bersyukur atas segala pemberian-Mu". Waktu itu aku tidak boleh tipu, aku biarkan mata ini menangis penyesalan.

Hari seterusnya, sewaktu melangkah ke masjid, kelihatan jauh van jenazah yang berdiri megah di depan tangga masjid, hati berkata "siapa pulak yang mati ini", kaki melangkah laju, sambil mengejar seruan azan, mata memerhati akan jenazah yang telah dikafankan itu, terus ke bilik wuduk. Semoga roh si mati akan tenang dan mendapat perlindungan daripada Allah swt. Selepas magrib penghuni masjid mencapai Yasin, bergema kata-kata tuhan di alunkan, Allahuakhbar!! jenazah itu dibiarkan sahaja, sambil mata aku bulat memandang. Hati berkata lagi "Mungkin Allah nak berikan peringatan kepada aku, supaya ingat mati". selepas bacaan Yasin, jenazah itu di bawa masuk, aku hanya mampu memerhati, lalu hati berkata-kata "inilah sembahyang terakhir kamu, dan inilah jejak terakhir kamu ke masjid, dan begitulah juga aku".

Thursday, March 6, 2014

AKU MASIH DI SINI IBU AYAH


Dari jauh aku melihat
liku dan ranjau
menelusuri jalan hidup
depan dan belakang 
penuh cabaran.

Aku berdiri di sini
cuba mentafsir 
kasih  ibu
aku cuba cungkir
pengorbanan ayah,
aku cuba ingat 
perjuagan mereka
tidak putus dicurah.
Aku belajar kasih dari
seorang ibu
aku belajar tabah dari
seorang ayah
wali keramat pemberian ilahi.

Aku yang masih di sini
hanya mampu pejamkan mata
hadirkan wajah indah
wajah syurga
melihat dalam pejam
senyum dan tawa
lalu kuntum rindu yang
tersimpan terubat jua akhirnya.

Aku masih di sini
inginku gapai kasih ibu 
tak sampai
inginku balas jasa ayah
tiada nilai
inginku peluk mereka
tangan tak capai.
hanya doa, bisa kutitip
kepadamu ibu ayah
moga tenanglah disana.

Ya Allah, Ya Tuhan segala puji milik-Mu, Keagungan, Kemuliaan, Engkaulah tuhan yang membuka mata kami dipagi hari, Engkaulah yang mengalirkan darah dalam diri kami, Engkaulah yang mendegukkan jantung di dalam dada kami, meskipun mata kami tak mampu melihat Mu, tangan kami tak mampu menyentuh-Mu, tapi Engkau lebih dekat dari urat nadi kami sendiri..Tuhanku, ampunkahlah dosa kedua ibu bapa kami, terimalah solat dan segala amalan kedua orang tua kami, jauhilah ibu bapa kami dari menyentuh api neraka-Mu kerana sifat kami di dunia ini, jagalah mereka seperti mana mereka menjaga kami di dunia ini, lapangkahlah kubur mereka, jauhkanlah azab Mu dari mereka, Tuhan, jangan jadikan kami orang-orang yang sombong di muka bumi-Mu Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim..

tokuban
6 Mac 2014

kalau ia bermanfaat kepada saudara/saudari, kongsilah kepada sesiapapun..