Saturday, March 15, 2014

KASIH SAYANG

Kasih dan sayang adalah salah satu kesempurnaan dalam tabiat manusia. Perasaan seperti ini membuat seseorang turut merasa sedih apabila melihat penderitaan saudaranya dan berusaha menghapuskan atau meringankannya.

jelaslah bahawa, rasa kasih sayang merupakan salah satu kesempurnaan. Tanpanya, manusia akan merosot kedudukannya setaraf dengan haiwan dan akan lenyaplah apa yang terbaik pada dirinya iaitu perasaan yang hidup dan selalu memiliki rasa kasih dan sayang. Bahkan haiwan sendiri pun mempunyai perasaan kasih sayang kepada keturunannya. Oleh kerana itu, kekejaman merupakan kemunduran dari fitrah manusia dan merosot kedudukannya ke tingkat haiwan, bahkan lebih rendah tingkatnya seperti benda yang tidak bergerak bernyawa.

kasih sayang dalam tingkatnya yang tertinggi dan keluasannya yang mutlak adalah salah satu sifat Allah s.w.t rahmat atau kasih sayang Allah s.w.t meliputi seluruh alam merata pada seluruh alam malakut. Persaudaraan, keramahan, saling kasih mengasihi ia adalah rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t yang terdapat di dalam hati manusia. orang paling lemah lembut hatinya dan paling besar rasa kasih sayangnya ialah yang paling banyak mendapat rahmat Allah s.w.t. Sedangkan orang-orang yang hatinya keras, mereka merupakan orang-orang yang congkak dan sombong, mereka itu akan di tempatkan di lapisan terbawah neraka.

Dalam Hadis Rasulullah s.a.w telah menegaskan

"Sesungguhnya manusia yang paling jauh dari Allah s.w.t ialah manusia yang berhati kejam"

(HR. At- Thabarani)

Allah s.w.t menghendaki supaya dunia ini mendaat keamanan dengan adanya seorang yang dapat menghapuskan penderitaan dan kepedihan, memperbaiki kekeliruan dan dosa kesalahannya, berusaha melalui jalan yang benar, menolong orang yang lemah dan berjuang membealnya.

Untuk itulah Allah s.w.t mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w seorang manusia yang hatinya telah diisi dengan ilmu dan ketabahan, akhlaknya diisi dengan keramahan, kelembutan,  dan kebajikan, tabiatnya diisi dengan ketulusan kasih sayang, Baginda juga seorang dermawan, kesemuanya itu membuat baginda menjadi hamba Allah s.w.t yang paling tinggi dan paling lapang dadanya.

Islam memerintahkan supaya para pemeluknya saling berkasih sayang dan perkara itu dijadikan sebagai salah satu tanda keimanan yang sempurna. Dalam bergaul dengan orang ramai, dalam hati seorang muslim mesti terdapat rasa kasih dan cinta.

Islam menekankan keharusan berkasih sayang secara umum terhadap semua makhluk. Untuk menjaga kemaslahatan umum dan ketenteraman masyarakat, agama Islam mementingkan kebajikan, pendamaian, dan kasih sayang terhadap segenap umat manusia.

Pada dunia akhir zaman ini, perasaan kasih sayang itu seolah-olah telah hilang dalam diri manusia, persoalan kemanusiaan, cinta, semakin pudar, yang tinggal hanya kerakusan, kezaliman, pengkhianatan yang berleluasa. Untuk itu, marilah kita sama-sama memupuk semangat berkasih sayang, cinta-mencintai antara satu sama lain, bagi mewujudkan satu situasi yang damai, bermuafakat, dan berkebajikan khususnya bagi umat Islam, ini kerana dalam Islam sendiri menekankan konsep kasih sayang sama ada sesama manusia, haiwan dan tumbuhan. Dan ingatlah hidup ini hanyalah pinjaman, segala yang ada di sekeliling kita adalah pinjaman, sama ada isteri, anak-anak, harta, kemewahan, pangkat dan kedudukan dan semua ini adalah ujian terhadap kita.


RUJUKAN BUKU AKHLAK SEORANG MUSLIM

No comments:

Post a Comment