From Google |
Jadilah seseorang yang mampu merubah hidup seseorang yang memerlukan, kita mungkin senang, sihat sejahtera, bahagia, namun adakah kita sedar masih ramai yang memerlukan bantuan daripada kita, kongsilah kebahagiaan, kesenangan itu dengan menyalurkan derma kepada pesakit-pesakit khususnya pesakit buah pinggang melalui Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia.
Ramai mungkin yang tidak tahu apa itu National Kidney Foundation (NKF)
NKF mula-mula didaftarkan pada tahun 1969, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia ( NKF ) berusaha untuk meningkatkan standard penjagaan kesihatan kepada pesakit; dengan kegagalan buah pinggang dan mereka yang mengalami pelbagai penyakit yang berkaitan dengan buah pinggang. Pada tahun 1993 , pusat dialisis yang pertama dibuka Jalan Hang Lekiu , Kuala Lumpur. Sejak beberapa tahun, NKF telah berkembang pesat dengan sokongan daripada banyak pihak. NKF telah memperluaskan peranannya daripada hanya pembekal rawatan dialisis, untuk menjadi pusat sumber kebangsaan sehenti bagi semua perkara yang berkaitan dengan buah pinggang.
NKF adalah sebuah organisasi amal bukan keuntungan , oleh itu pengumpulan dana merupakan komponen penting supaya kita dapat menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan dan mengekalkan organisasi.
Pesakit NKF adalah umumnya daripada golongan berpendapatan rendah dan pesakit-pesakit sering tidak mampu rawatan dialisis di kemudahan perubatan swasta yang biasanya mengenakan RM150 hingga RM250 bagi setiap sesi dialisis, setiap sebulan pesakit buah pinggang dimestikan mendapat rawatan dialisis 4 kali, dan seperti yang dinyatakan di atas, setiap dialisis menelan belanja sebanyak Rm 150-250, bayangkan jika ianya dilakukan 4 kali sebulan. Oleh itu, NKF membantu dengan memberi subsidi kos rawatan dialisis pesakit, supaya mereka hanya perlu membayar yuran nominal RM50 setiap sesi dialisis.
Setiap tahun, NKF perlu menyalur sebanyak RM12 juta untuk memberi subsidi kos rawatan dialisis untuk 1557 pesakit yang mendapatkan rawatan di pusat-pusat 28 dialisis kami di seluruh negara (pada September 2013 ). Dengan sokongan yang pemurah dan baik hati daripada pelbagai organisasi dan orang awam melalui derma , geran dan pelbagai bentuk bantuan kewangan, kita dapat memberi subsidi kos rawatan bagi pesakit yang menjalani dialisis.
Selain itu juga, terdapat syarikat-syarikat besar yang turut menaja program ini, antaranya Berjaya Group, KLCC, KL Tower. Mereka-mereka ini bukanlah menyalurkan dana kepada pesakit dengan pemberian wang, tapi syarikat-syarikat ini telah menyediakan alatan-alatan seperti mesin dialisis untuk pesakit menerima rawatan dengan kos yang sederhana.
Terdapat pelbagai program yang telah dilakukan untuk mendapatkan dana kepada pesakit-pesakit ini antaranya larian amal, konset amal, dan sebagainya. Menyedari kesulitan dan kesusahan yang pesakit alami, kami terpanggil untuk melakukan kerja amal iaitu mengumpul dana sebanyak mungkin untuk disalurkan kepada mereka melalui face to face, kami datang bukan untuk derma semata-mata, namun kami cuba berikan kesedaran kepada masyarakat tentang penjagaan kesihatan serta pemberitahuan tentang wujudnya pusat dialisis yang murah. Ramai mungkin yang tidak mengetahui wujudnya badan NGO yang menyediakan rawatan dengan caj yang rendah, oleh itu kami terpanggil untuk mewar-warkan kepada masyarakat akan wujudnya pusat dialisis untuk pesakit yang kurang berkemampuan, ibu tunggal, anak-anak yatim dan sebagainya.
WE CARE, WE LOVE
-tok uban-
24 Oktober 2013