Thursday, June 20, 2013

CERPEN ORANG-ORANG KECIL



ORANG-ORANG KECIL

“Andai aku ada kuasa akan ku sekat semua ni Mat, aku tak mahu semua ini berlaku, terkubur lah segala memori-memori kita  semua di situ. Bersemadi lah segala  pahit dan manis kita semua”. Jelas Sidin dengan nada suara yang tinggi, meluahkan perasaan tidak puas hatinya kepada Mamat yang baru melabuhkan punggungnya di kerusi meja bulat itu. Mamat yang terpinga-pinga, tercengang cuba memahami apa yang ingin disampaikan Sidin.
“Apa yang kau merepek ni Sidin? Aku baru saja duduk, teh panas pun belum mintak lagi. Tak tahu hulu hilir, datang-datang kau sergah aku macam ni. Apa yang kau tak puas hati sangat ni?”. Tanya Mamat meminta penjelasan dari Sidin. Dia faham sangat perangai panas baran Sidin yang tidak ubah-ubah sejak dari kecil lagi.
“Pak Derus!!, teh panas satu”.
Sudin dengan Jamal tak balik ke? Tanya Sidin, merendahkan suara garaunya kepada Mamat yang sedang memerhatikannya.
“Tak tahu lah aku, aku ada berbual dengan dia minggu lepas, katanya nak jugak dia balik ke sini, lagipun dah lama dia tak balik. Sejak dapat bekerja di Kuala Lumpur, jarang benar dia balik, sibuk mungkin”. Jelas Mamat, sambil matanya memerhatikan Pak Derus yang membimbit secawan teh panas yang masih berasap datang kepadanya.
“Kau pergi sana ke?”  tanya Sidin ringkas, mengejutkan Mamat yang menanti teh panas daripada Pak Derus.
“Tak lah, dia ada telefon aku”.
“Pak Derus! Surat khabar hari ni punya mana?” laung Mamat kepada Pak Derus sudah kembali ke dapur selepas meletakkan teh panas Mamat tadi.
Sidin memerhatikan saja gelagat Mamat, sambil tangannya membuka mulut kotak rokok yang terhidang di atas meja bulat. Anak-anak asap teh panas tadi berputar-putar ke udara lalu hilang ditelan sejuk pagi. 
“Ada, cuba kau tengok kat atas meja depan tv tu” laung Pak Derus kepada Mamat, sambil tangan-tangannya sibuk menyiapkan sarapan pagi kepada pelanggan.
Apa kena kau ni? Muka ketat je. Kau bergaduh dengan Salmah ke?” sindir Mamat yang sedang mengacau-ngacau teh panasnya. Mamat menanti jawapan dari Sidin dengan penuh tanda tanya. Kedengaran suara lori dan jentera memecah sunyi pagi. Menggamatkan suasana kampung yang dulu sunyi tanpa pembangunan.
Kedua-dua bibir Sidin menyepit rokok yang diambil dari mulut kotak rokok sebentar tadi, dan menyalakannya. Dia seperti tidak menghiraukan pertanyaan Mamat. Kepulan asap nipis berterbangan di ruang udara. Dada Sidin mengembang dan mengecut menikmati kepulan asap rokok dihisapnya.
Mamat bingkas bangun mendapatkan surat khabar yang telantar di atas meja depan tv warung Pak Derus yang berusia setengah abab itu.
“Apa tajuk utama surat khabar hari ni?” Tanya Sidin kepada Mamat baru saja melabuhkan punggungnya.
“Pembangunan asas pemodenan, negara menuju ke arah wawasan 2020” jelas ringkas Mamat. Sidin memerhatikan saja surat khabar yang dipegang Mamat.
“Moden la sangat, apa guna membangun kalau alam semakin merudum”. Suara kecil Sidin seperti membantah kemajuan negara sekarang. Mamat memerhatikan saja wajah Sidin dengan penuh tanda tanya, dahinya berombak memikirkan pernyataan sidin sebentar tadi. Kelihatan kepulan asap rokok memenuhi ruang meja bulat mereka. Surat khabar yang dipegangnya dilipat lalu diletakkan di atas meja sebelah tehnya yang sudah sejuk di makan dingin pagi.
“Apa yang tak kena dengan kau hari ni Din?, cuba kau bagi tahu aku”, Mamat menarik sedikit kerusi mendekati Sidin.
“Tak ada apalah, benda kecil saja”. Jawab Sidin yang sedang menghabiskan rokoknya. Kepulan asap semakin menebal, hembusan asap dari mulut Sidin semakin laju.
Aku yang tak kena atau kau yang tak mengerti?” herdik Sidin kepada Mamat yang sedang menghirup teh nya yang kian sejuk.
“Lagi lah aku tak faham Din, cuba kau terus terang dengan aku, apa yang tak kena sebenarnya?” soal Mamat sambil mengelap bibirnya dengan tangan yang dibasahi air teh.
“Aku betul tak mengerti apa yang cuba kau maksudkan”.
“Sungai di hujung kampung tu yang aku maksudkan”. jelas Sidin, sambil membuang puting rokok di tepi jalan sebelah warung yang masih dibasahi embun semalam. Sidin membetulkan kedudukan, kakinya dilipat diangkat atas ke paha.
“Ooo!! Jadinya, sebab penimbusan sungai hujung kampung tu la kau jadi macam ni”. Mamat mengangkat sedikit kepada tanda faham masalah Sidin.
“Kau tahu kan Mat, banyak kenangan kita bersama kat sungai tu. Masa kecil-kecil dulu kita empat orang selalu ke situ. Suka duka kita berempat, tak pernah aku lupakan”. Jelas Sidin dengan nada perlahan.
Betul tu Din, aku masih ingat lagi kita berempat kena kejar tebuan tanah dek masuk kebun Tok Wan Mat ambil rambutan dia, tempiaran lari semuanya, akhirnya ke sungai tu jugak kita terjun”. jelas Mamat sambil ketawa kecil dia dengan Sidin mengingatkan zaman-zaman nakal mereka.
“Hahahaha!! Aku ingat semua tu Mat. Jamal yang kena sengat dek tebuan tu, seminggu dia demam”.
Matahari kian menaik, memancarkan terang cahayanya, jurai-jurai cahaya menembusi  lapisan dedaun yang masih basah diselimuti embun semalam., memakan dingin pagi yang kian nipis menyelubungi kampung Tok Uban. Kelihatan lori hantu sibuk keluar masuk memunggah tanah merah. Mamat dan Sidin hanya mampu memerhatikan saja gelagat-gelagat mereka.
“Kau ingat tak Mat, masa kita mandi kat sungai petang tu, Mak Leha datang kejar dengan kayu api, lintang pukang kita lari. Sudin kena kurung kat rumah tiga hari, sebabnya bila Sudin keluar saja, tak ada tempat lain yang dia pergi, ke sungai tu saja tempatnya. Angin Mak Leha dengan sikap Sudin tu, keras kepala betul. Tapi akhirnya berjaya jugak dia. Kerja pun kat bandar”. Jelas Sidin kepada Mamat sambil menghela nafas panjang mengenangkan zaman kanak-kanaknya dulu.
“Kita besar dekat sungai tu Mat, sungai tu dah jadi sebahagian daripada zaman kanak-kanak kita”. Sambung Sidin lagi.
“Projek apa nak dibangunkan atas sungai tu?”
“Aku dengar-dengar kerajaan bercadang nak bina kilang mancis, mula-mula sungai tu tak kena pun dalam pelan perancangan, entah macam mana, jadi kena pulak. Tok penghulu pun setuju sangat dengan cadangan tu. Katanya elok benar lah, anak-anak muda kat kampung ni tak payah lagi keluar cari kerja di bandar. Duduk saja berbakti di kampung ni, sama-sama memajukan kampung. Kertas cadangan juga aku ada baca hari tu, tok penghulu pegang.”
Sidin mengusap-ngusap janggungnya yang panjang berkali-kali sambil mencebet mulutnya, kepalanya terangguk-angguk tanda faham penjelasan Mamat. Kelihatan lori hantu keluar masuk melalui warung Pak Derus. Menggamik suasana pagi.
“Aku tak setuju cadangan pembinaan kilang tu, sebabnya ia telah memusnahkan sungai kampung kita. Banyak lagi tanah kosong yang ada kat kampung ni, kenapa sungai tu jugak yang dia pilih. Tuhh!! Tanah kosong hujung kampung bertimbun lagi, kenapa tak ambil tanah kat situ?”. Sidin menunjukkan jari ke belakang.
“Sama jugak Din, tak musnahkan sungai, musnahkan hutan pulak. Entah la aku pun tak faham”. Pendek jawab Mamat mematikan pertikaian mereka.
“Siapa lah kita ni nak bagi pandangan dan cadangan. Kita ni orang-orang biasa, tak ada pangkat pun nak. Orang-orang kat atas tu, orang besar-besar. Pangkat Tan Sri, Datuk Seri. Mereka yang menentukan segala-galanya, kita hanya mampu melihat je”. Sambung Mamat lagi sambil mengangkat cawan tehnya yang telah sejuk, lalu di tuangkan dalam mulut.
“Kau pun tak setuju ke dengan cadangan tu?”soal Sidin kepada Mamat yang baru saja meneguk teh sejuk.
“Setuju atau tak setuju, kita yang kecil ni terpaksa la ikut. Sama ada dengan rela tau pun tak. Kena pejam mata lah kita din atas dasar pembangunan”. Jawab Mamat sambil matanya memerhatikan gelagat Pak Derus yang masih sibuk di dapur.
“Kita kena beritahu tentang keburukannya pada orang-orang kampung Mat, ini bukan benda kecil, melibatkan persekitaran, kerosakan alam. Kita perlu sedarkan masyarakat, jangan biarkan mereka di sogokkan dengan kebaikan sahaja, kita perlu fikirkan tentang keburukannya”. Bersungguh Sidin membentangkan cadangannya kepada Mamat.
“Cakap memang boleh Din, memang kita boleh bagi tahu orang-orang kampung, tapi aku fikir, projek yang sedang berjalan tu tak mungkin akan diberhentikan. Ni bukan projek tok penghulu din, ni projek kerajaan”.
“Projek ni siapa yang jalankan Mat?
“Katanya orang kaya Kuala Lumpur”. Ringkas Mamat menjawab.
“Orang kita ke orang lain mat?”
“Orang lain. Orang kita jarang benar dapat projek besar macam ni. Haram lah kalau nak dapat”.
“Memancing kat sungai tu tak pernah menghampakan, ada saja ikan yang boleh dibawa naik. Maklumlah sungai belum tercemar dengan bahan buangan, ikan pun segar-segar, dah la besar. Batang pancing kau patah dek tangkap ikan terlebih muatan, aku dengan Sudin yang terjun sungai bawak naik ikan. Basah kuyup aku dengan Sudin. Kita bakar ikan kat tepi sungai tu, pokok-pokok merimbun tuduh saja”.
“Kau ingat tak Din?”. Soal Mamat mengimbau zaman kanak-kanaknya memancing ikan.
“Eh! Mesti la aku ingat Mat, zaman kita kanak-kanak semuanya tersimpan dalam memori kepala aku, tambah-tambah latarnya sungai tu”. Jawab Sidin bersungguh seperti menyenangkan hatinya yang gelojak kemarahan menimbun.
“Walau apa pun yang terjadi, kenangan kita bersama, tak kan aku lupakan, sungai yang hampir mati sekarang adalah separuh daripada kehidupan kita zaman kanak-kakak dulu. Nampaknya anak aku tak sempat belajar macam mana nak menjala ikan, menahan ikan dengan bubu, merasai kenikmatan mandi sungai, berkayuh perahu, macam-macam lagi lah. Tak dapat aku gambarkan macam mana kampung kita depan hari, jadi bandar mungkin”. Senda Mamat kepada Sidin, sambil ketawa kecil.
“Orang-orang kampung seperti kita hanya mampu melihat dan merasainya sahaja, tak boleh membuka bicara, kalau bagi pandangan kan, nanti kata tak mahu maju pulak. Berserah sajalah Mat”.


No comments:

Post a Comment