from google |
Senyuman Mona Lisa, wanita yang diabadikan dalam potret
agung berusia lebih 500 tahun yang kini di tempatkan di Muzium Louvre di Kota
Paris, Perancis terus mencetuskan misteri yang membingungkan ramai pihak
sehingga kini.
Senyuman unik yang dilukiskan oleh wanita tersebut
mencetuskan seribu tanda tanya kepada semua pihak khususnya penyelidik,
pengkaji seni malah saintis juga cuba mentafsir makna di sebalik senyumannya
itu.
Potret Mona Lisa mula dihasilkan oleh Leonardo Da Vinci
sekitar tahun 1503. Ia dihasilkan dengan menggunakan cat minyak dan disiapkan
dalam masa empat tahun. Kini, selepas lebih 500 tahun potret bersaiz 53
sentimeter lebar dan 77 sentimeter panjang sebagai “Mona Lisa” atau “La
Gioconda” itu digantung di sebuah bilik cermin yang dilengkapi pengawasan ketat
.
Populariti potret Mona Lisa selain nilai seninya yang tidak
terhingga menyebabkan ia pernah dicuri dari Muzium Louvre pada 21 Ogos
1911. Hasil penyelidikan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Illionois
dan Universiti Amsterdam yang menggunakan pengenal emosi untuk mengetahui
perasaan model terbabit ketika dia menyimpan senyumannya.
Hasilnya, program komputer ‘pengenal emosi’ itu menyatakan
bahawa senyuman Mona Lisa menggambarkan perasaannya yang berada dalam kondisi
bahagia iaitu dengan 83% gembira, 9% jijik, 6% takut, dan 2% marah.
Penyelidik dari Kanada pula cuba mengandaikan bahawa kegembiraan Mona Lisa
itu adalah kerana dia baru melahirkan anak keduanya. Kumpulan itu menggunakan
teknologi cahaya inframerah dan teknik tiga dimensi bagi meneliti bahagian
lukisan berkenaan dan hasilnya mereka dapat melihat goresan cat lapisan demi
lapisan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Teori yang mengatakan senyuman Mona Lisa disebabkan dia baru
mendapat anak keduanya di timbulkan kumpulan penyelidik itu selepas mendapati
kain yang dipakai Mona Lisa, banyak dipakai wanita Itali yang sedang mengandung
atau baru melahirkan anak sekitar abad ke-16.
Selain misteri membabitkan senyuman Mona Lisa, penyelidik
dan pengkaji seni terus mencari jawapan kepada persoalan siapakah Mona Lisa
yang sebenar.
Terdapat dakwaan bahawa wanita dalam lukisan itu adalah Lisa
Ghererdini, isteri kepada seorang pedagang bernama Francesco de Gioconda dan
wanita itu dilukis selepas melahirkan anak keduanya. Perkataan Mona Lisa yang
digunakan dalam potret itu merujuk kepada ‘Madam Lisa’.
Selain Lisa Ghererdini, wanita lain yang dikaitkan sebagai
model potret Da Vinci itu ialah Isabella of Aragon, Caterina Sforza dan
Constanza d’Avalos. Terdapat teori yang dikemukan oleh seorang pengkaji iaitu
Serge Bramly, yang menyatakan bahawa model lukisan Mona Lisa adalah ibu kepada
Da Vinci iaitu Caterina.
Lebih menarik lagi terdapat pengkaji seni yang mengandaikan
bahawa model Mona Lisa sebenarnya tidak wujud tetapi ia dilukis berdasarkan
imaginasi. Pengkaji dari Bell Labs, Dr Lillian Schwartz menyatakan Mona Lisa
adalah wajah Da Vinci sendiri yang dilukis sebagai wanita.
Namun, penemuan yang konkrit masih lagi tidak ditemui, ia meninggalkan
seribu tanda dan misteri.
rujukan: Buku Misteri Dunia oleh Nasron Sira Rahim
No comments:
Post a Comment