Menurut Abdullah Hussain (2004), orang arif bijaksana ialah orang yang tahu dikias dengan bandingan , tahu dilahirkan dengan batin, tahu akan apa yang tersurat dan tersirat, kilat beliung sudah dikaki, kilat pisau sudah ke tangan, kilat cermin sudah ke muka; mereka lebih dulu dapat menangkap tujuan seseorang itu malah sebelum diucapkan olehnya. Walaupun golongan ini sangat sedikit jumlahnya pada tiap-tiap negeri atau bangsa, akan tetapi pengaruhnya amat besar. Mereka suka melihat sesuatu itu dengan mata hati yang kritis, menghela lembu dengan talinya, menghela manusia dengan akalnya, mereka merenungkan dalam persemadiannya cara-cara yang baik untuk dapat dijadikan pegangan hidup supaya kehidupan mereka selamat dan sempurna. Hasil renungannya itu diucapkan dengan kias dan sindiran . misalnya, mereka melihat orang tergopoh-gapah membuat sesuatu pekerjaannya, sehingga pekerjaan itu rosak dan hasilnya tidak sempurna, maka berkata-lah mereka sebagai suatu bandingan “biar lambat asal selamat”, “tak lari gunung dikejar”, setelah adanya orang yang mendengar kata-kata itu, mereka pun mulalah memikirkan dengan mendalam makna dalam kiasan itu, lalu membuat kesimpulan, iaitu memang benarlah gunung itu tidak akan lari, hilang kabus tampak lah ia. Sejak itu mulalah orang berhati-hati dalam melakukan pekerjaannya.
Sekiranya dikaji kembali semua peribahasa yang ada dalam koleksi dalam masyarakat Melayu, akan terserlah kepada kita betapa luasnya renungan dan fikiran masyarakat Melayu zaman dahulu ketika menyusun peraturan hidup, sehingga sebahagian besar daripada hasil renungan dan fikiran mereka itu masih boleh diguna pakai sehingga sekarang walaupun ada sebahagiannya sudah tidak boleh digunakan dengan zaman kemajuan ilmu pengetahuan sekarang. Hal ini berlaku kerana makna sesetengah daripada peribahasa itu agak ‘tergelincir’ daripada kajian yang dijalankan.
Orang Melayu mempunyai nilai rasa yang tersendiri dan mereka menilai tinggi terhadap budi bahasa seseorang. Orang yang berbudi bahasa, berbudi mulia dan bersopan santun dalam berbahasa diberi nilai yang sangat tinggi. Orang yang tidak berbudi bahasa dan bercakap dengan cara yang tidak sopan dianggap berperangai rendah, tidak berbudi bahasa dan dikatakan kurang ajar atau biadab. Ketinggian nilai budi bahasa dalam masyarakat Melayu boleh dilihat dari pelbagai ungkapan dalam persuratan Melayu lama seperti pantun, syair, peribahasa, dan sebagainya (Amat Jauhari Moain, 2001). Kiasan Melayu memenuhi ciri-ciri yang digariskan iaitu merupakan bahasa sindiran yang halus dan sarat dengan pengajarannya. Oleh yang demikian, kiasan Melayu berfungsi sebagai lambang kesopanan dan kehalusan budi pekerti masyarakat pendukungnya.
Penggunaan kiasan Melayu dapat menggambarkan budaya dan kehidupan masyarakat Melayu yang kaya dengan adab sopan serta halus budi pekertinya. Selain itu masyarakat Melayu memiliki peribadi yang istimewa selain terkenal dengan ciri-ciri ketimuran seperti lemah-lembut, beradab sopan dan berbudi bahasa. Budi merupakan satu ikatan yang erat dan halus dalam pergaulan hidup manusia.
Kiasan Melayu ternyata adanya hubungannya dengan kehidupan masyarakat Melayu dahulu hinggalah sekarang. Kiasan Melayu adalah refleksi kehidupan bangsa Melayu itu sendiri. Penciptaan kreatif kiasan Melayu membuktikan bahawa bahasa bukan hanya sebagai wahana komunikasi, malah ia juga menyerlahkan pengetahuan seseorang terhadap peradaban dan etika berbahasa.
Sekarang, peribahasa atau kiasan Melayu hampir luput daripada pegangan remaja khususnya. Mereka sudah tidak lagi memandang kiasan-kiasan lama yang dianggap telah lapuk dengan arus pemodenan. Mereka seharusnya memelihara nilai budi pekerti Melayu yang ditonjolkan melalui penggunaan bahasa. Itulah Melayu sebenarnya, penuh dengan nilai-nilai kemanusiaan, kelembutan, penuh dengan santunnya. Tetapi jika diteliti pada abad ke-21 ini, tidak ramai antara kita yang berbudi, sopan dan lembut. Semuanya menunjukkan kekerasan, kejelekkan, kebobrokan. Maknanya identiti Melayu yang dulunya lembut, penuh dengan sopan santun telah pun hilang sebenarnya, Cuma mungkin masih ada segelintir Melayu yang mengamalkan adab Melayu yang sebenar. Apa pun sama-samalah kita menjaga ketatasusilaan adab sopan Melayu supaya kekal sehingga generasi akan datang. Mahu kah kita melihat budi Melayu hilang begitu sahaja sedangkan negara lain bertungkus-lumus menghidupkan budaya yang telah lama ditinggalkannya.
No comments:
Post a Comment