Monday, November 14, 2011

AFZAN DAN METRO, ORANG ASLI DAN AFZAN

PELBAGAI pengalaman menarik dan mengujakan ditimba 97 mahasiswa kursus Kesusasteraan Rakyat Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM) ketika menyertai program lawatan sambil belajar di Perkampungan Orang Asli Che Wong, Kuala Gandah, Lanchang, Pahang, baru-baru ini.
Bertujuan mengenali budaya masyarakat berkenaan, ia juga sebahagian pembelajaran praktikal untuk diaplikasikan dalam pementasan Malam Tradisi Sastera Rakyat ke-26 yang bertajuk “Legenda Tok Kelembai”.

Lawatan berkenaan turut disertai mahasiswa Fakulti Pengajian Pendidikan dan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi selain mendapat sokongan serta kerjasama Jabatan Orang Asli daerah Temerloh, Pahang.

Ketua program, Muhammad Afzan Ismail, berkata pendekatan itu diambil untuk memudahkan lagi mahasiswa merasai pengalaman sebenar kehidupan Orang Asli, di samping berbakti kepada golongan itu melalui perkongsian ilmu.


Menurutnya, ia bukan saja membantu peserta saling bekerjasama, malah memberi peluang merasai suasana baru bersama masyarakat, sekali gus bersedia berdepan dengan cabaran kehidupan masyarakat sebenar.

“Program ini ibarat serampang dua mata kerana bukan saja memberi pendedahan mengenai budaya Orang Asli, malah membantu mereka menjiwai pembelajaran sekali gus.

“Pendekatan ini amat praktikal kerana mahasiswa lebih mudah memahami selain menjadi batu loncatan menjiwai watak diberikan,” katanya.

Antara aktiviti menarik dalam program sehari itu adalah mempelajari tarian sewang, membuat kraftangan dan menjahit pakaian Orang Asli selain melawat Pusat Konservasi Gajah.

Peserta program, Ummi Nazifah Kamarudin, 22, dari Fakulti Pengajian Pendidikan berkata, aktiviti itu mempelbagaikan pengetahuan cara hidup masyarakat berkenaan yang semakin dilupakan.

“Ia kenangan menarik dan banyak memberi pengetahuan mengenai kehidupan Orang Asli.

“Saya tidak sangka, mereka menerima kehadiran kami dengan tangan terbuka serta memberi layanan mesra.

“Sekali gus menangkis persepsi salah mengenai mereka selama ini. Saya teruja dan gembira dapat mengikuti program ini dan berharap mampu mengaplikasikan segala dipelajari dalam kuliah kelak,” katanya.

Pegawai di Jabatan Orang Asli Temerloh, Tarak Batin Beok, berkata mereka sangat berbesar hati menerima kunjungan mahasiswa berkenaan dan satu usaha murni untuk mendekatkan hubungan antara satu sama lain.

“Diharap pendekatan ini mampu menyampaikan maklumat kepada kedua pihak untuk manfaat bersama. Kami berbesar hati menerima kunjungan dan diharap dapat membantu masyarakat Orang Asli ini bermesra dengan masyarakat luar,” katanya.

No comments:

Post a Comment