Tuesday, December 7, 2010

Bila Isteri Mengamuk



Kekadang isteri mengamuk
Dengan ombak prasangka dan lautan cemburu
Apa bukti setiamu suami?
Atau apakah kau sedang berkira-kira
Hendak “mendua”, “mentiga” dan “mengempatkan”ku?
Kekadang disergahnya suami
Ketika keringat masih membasah
Baru melangkah masuk pintu rumah
Ketika itu bermuhasabahlah diri
Mungkin suami berdosa dengan TUHAN
Atau bersalah dengan insan
Mungkin banyak penzaliman dan penganiayaan
Yang telah dilakukan
Lalu datang ‘serangan’ itu sebagai peringatan
Suami
Hadapkanlah diri ke cermin hati
Kaji dirimu satu persatu
Kalau liar, berhentilah
Kalau berdosa,  bertaubatlah
Jangan berkira-kira hendak “berdua”
Kalau yang  satu itu pun tak mampu dijaga
Jangan kemampuan harta dan fizikal sahaja
Diperhitungkan…
Tetapi mampukah meratakan keadilan
Memimpin penuh kasih sayang?
Sebaliknya jika ternyata isteri yang melulu
Nasihatkan dia baik-baik
Ingatlah mestika kata dalam kitab-kitab tua
Suami yang bersabar dengan isteri yang jahat
Akan mendapat pahala Nabi Ayyub
Atau ingatkan pesan Umar al-Khattab
Ketika didatangi seorang suami
Yang dileteri isteri
“bersabarlah,kerana sesungguhnya isteri
Telah banyak membantu kita
Dia menyelamatkan kita
Daripada amukan nafsu
Dia yang membantu menjaga anak-anak kita
Dia yang membantu menjaga makan minum kita
Dia yang membantu mencuci kain baju kita
Dia yang membantu membersihkan rumah kita
Lalu apa salahnya kita bersabar dengan kerenah mereka
Taburkanlah segenggam salji pada secubit api…

No comments:

Post a Comment